Header Ads

  • Latest Posts

    KELANTAN syurga Makanan Ekostik

    Gabungan kaum Melayu, Cina, India, masyarakat Thailand berjaya satukan pelbagai hidangan kepada ’hidangan Malaysia’. Jika tiba-tiba teringin hendak menikmati makanan unik dan berbeza rasanya, negeriku ini merupakan destinasi harus dikunjungi. Jangan pula hairan, kerana keunikan itu juga menyebabkan ada mereka sanggup memandu berjam-jam lamanya hanya semata-mata untuk menikmati juadah di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

    Negeri di Pantai Timur ini mempunyai potpuri budaya yang agak unik. Gabungan kaum Melayu, Cina, India dan masyarakat Thailand berjaya menyatukan pelbagai hidangan kepada ‘hidangan Malaysia’ sekali gus menjadikan ia sebagai tarikan kepada pelancong luar. kalian mungkin tertawa tatkala mendengar nama kuih seperti Tahi Itik, Kuih Kartun, Badak Berendam, Abang Balik Gelisah, Che Abang Guling, Lompat Tikam, Lidah Buaya dan macam-macam lagi nama diberi. Namun, di sebalik nama yang pelik itu, rasanya amatlah lemak dan manis sekali.

    Begitu juga dengan hidangan Nasi Kerabu, Nasi Berlauk, Nasi Tumpang, Laksam atau Solok Lada yang sinonim dengan Kelantan sehingga membuat anda terkenang-kenang keenakan makanan itu.

    Memang benar bak nyanyian pelakon dan pelawak Jalil Hamid: “makanan pelik-pelik, tahi minyak tahi itik,” yang pelik dan unik itulah bagaikan magnet yang menarik orang ramai ke negeri ini.

    Menurut Pengarah Pelancongan Negeri Kelantan, Muhammad Zaki Talib, Kelantan sememangnya kaya dengan pelbagai jenis makanan eksotik namanya, namun itulah hakikat betapa hebatnya aneka makanan tradisi negeri ini yang tidak akan kita jumpa di tempat lain. Kuih-muih dan makanan tradisional Kelantan sebenarnya juga merupakan produk yang boleh dijual atas nama pelancongan sebagai daya tarikan melawat negeri ini. Dengan kekuatan tarikan makanan dan kebudayaan ditambah dengan sikap ramah dan mudah mesra masyarakat Kelantan, negeri ini sentiasa bersedia untuk menerima kunjungan pelancong.

    Sebagai contoh, Pesta Makanan Kelantan 2009 yang diadakan selama empat hari bermula 12 Mac lalu adalah bukti betapa kayanya masyarakat di negeri ini dengan pelbagai jenis makanan. Acara anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan yang diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV itu menyaksikan penyertaan daripada 24 agensi dan pengusaha makanan dari Kelantan, Terengganu, Perak, Sabah, Sarawak dan Thailand.

    Festival makanan itu yang merupakan wadah penting mempamer keunikan makanan turut menyaksikan lebih 200 jenis makanan dijual. Antaranya kuih tradisi Kelantan, kek lapis Sarawak, rendang tok, lemang periuk kera, ayam percik, lauk-pauk dan pelbagai jenis nasi dan pengat. Tidak lengkap kunjungan ke sini sekiranya tidak mengambil peluang mengunjungi Pasar Besar Siti Khadijah yang merupakan pasar paling terkenal di Kelantan.

    Kompleks tiga tingkat ini dikatakan menjadi lambang kegigihan wanita Kelantan berniaga dan di sini dipenuhi pelbagai jenis keropok, kraf tangan dan batik yang boleh dibawa balik sebagai buah tangan. Pasar ini beroperasi seawal jam 6 pagi hingga 7 malam. Semua peniaga akan menghentikan segala urusan jual-beli apabila masuk waktu sembahyang selama 15 minit bagi membolehkan semua pengunjung dan peniaga menunaikan solat.

    2 ulasan:

    Penulis mengalu-alukan sebarang perkongsian maklumat, komen, cadangan penambahbaikan, dan respons untuk untuk meningkatkan mutu kandungan dan penulisan di blog ini. Hantarkan maklum balas melalui ruangan komen atau emelkan kepada penulis melalui emel ahsfantasy24@yahoo.com.

    Jangan lupa untuk menjadi pengikut setia, klik 'FOLLOW' sekarang! (◕‿◕)

    Post Top Ad

    ad728

    Post Bottom Ad

    ad728